PARTI MANAKAH YANG AKAN MEMEGANG TAMPUK PEMERINTAHAN NEGARA SELEPAS PRU KE-13 ?

Friday 18 May 2012

BERSIH 4.0 akan diadakan jika rakyat mahu

Samad Said: Bersih 4.0 boleh diadakan jika rakyat mahu
18 Mei 2012

A. Samad Said

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said tidak menolak kemungkinan Bersih 4.0 diadakan jika rakyat sekali lagi bersedia untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Pendirian Sasterawan Negara itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan kenyataan Datuk S. Ambiga, yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0, sebelum ini menyatakan beliau tidak bercadang ke arah penganjuran Bersih 4.0.

A Samad berkata, perhimpunan Bersih 4.0 mungkin menjadi kenyataan sekiranya penyokong pembangkang berhajat berbuat demikian dan pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan seterusnya.

"Untuk sementara ini kita tidak berani buat (Bersih 4.0) tetapi kalau rakyat mahu kita buat, kita beranilah," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Dataran Pas Kuala Ibai di sini, malam tadi.

Berdasarkan kenyataan sebelum ini, Ambiga dipetik berkata masih belum bersedia meneruskan gerakan Bersih 4.0 yang dikaitkan dengan lambang kebangkitan rakyat di negara ini. Kelmarin, kepimpinan Bersih 2.0 berkata mereka sudah membuat keputusan muktamad tidak akan menggerakkan Bersih 4.0.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas dilihat mahu perkara ini berlaku sekali lagi bagi mendesak pilihan raya lebih bersih pada pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Penolong Setiausaha Agung Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Naib Ketua Muslimat Pas Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi dan Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah.

Sementara itu, Salahuddin turut memberitahu bahawa pihaknya mengadakan jelajah ke seluruh negara ketika ini bagi memberi pendidikan politik kepada orang ramai.

"Kita ingin rakyat Malaysia merasai politik baru dengan pengetahuan supaya politik kotor tidak berlaku dalam negara," katanya. (SH)


DARI SAS: Sokong BERSIH 4.0 diadakan sekali lagi jika sistem pilihanraya masih kotor!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...